PENUBUHAN

Lembaga Sumber Air Negeri Kedah adalah sebuah agensi yang bernaung dibawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Ia ditubuhkan melalui Enakmen Sumber Air Kedah 2008 bertarikh 13 Februari 2008 yang diluluskan oleh Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman . Enakmen ini telah diwartakan pada 27 Mac 2008 hasil keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan bersidang pada 31 Oktober 2007, secara dasarnya bersetuju menerima pakai Rang Undang-Undang Sumber Air Negeri Kedah 2007.

Mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada 21 November 2007 telah meluluskan Enakmen Sumber Air Negeri Kedah. Enakmen Sumber Air Kedah 2008 mula berkuatkuasa mulai 1 Jun 2010. Menteri Besar Negeri Kedah Y.A.B Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Bin Abdul Razak, DHMS., JPMK., JP dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah. Encik Abdul Bari Bin Abdullah, AMK., BCK., merupakan pengarah yang pertama di Lembaga Sumber Air Negeri Kedah terdiri daripada Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS). Lembaga mula beroperasi pada 1 Julai 2010 bertempat di Wisma Darul Aman Alor Setar Kedah.

Pada peringkat awal, jabatan ini beroperasi dengan kakitangan perintis seramai 7 orang termasuk pengarah. Pada Januari 2012 Dr. Fadzil Bin Abdul Kadir, AMK., BCK., dilantik sebagai Pengarah LSANK yang kedua menggantikan Encik Abdul Bari Bin Abdullah, AMK., BCK. Beliau juga merupakan salah seorang pegawai dari perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS). Sehingga Januari 2016, kakitangan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah telah berjumlah 31 orang. Lembaga Sumber Air Negeri Kedah kini memfokuskan kepada konsep mesra pelanggan dan mesra alam sekitar dengan menumpukan kepada keberhasilan daripada sumber air dan dalam masa yang sama memastikan kelestarian alam sekitar terutamanya sumber air Negeri Kedah dipelihara dan dipulihara pada tahap yang terbaik.

Setelah berlaku perubahan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dalam Pilihanraya Umum ke -13 pada Mei 2013 dimana Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir SPMK., DHMS.,DSNS. dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Kedah. Maka Jawatan Pengerusi Lembaga juga diserahkan kepada beliau bagi mengantikan Allahyarham Y.A.B Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Bin Abdul Razak, kerana Menteri Besar Negeri Kedah dilantik secara automatik sebagai Pengerusi Lembaga. Ogos 2014 menyaksikan satu tranformasi baru kepada Lembaga Sumber Air Negeri apabila seorang lagi Pegawai dari Skim Perkhidmatan Tadbir Negeri Kedah (KCS) telah dipilih untuk menerajui Lembaga Sumber Air Negeri Kedah sebagai Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri yang baharu. Beliau yang dimaksudkan adalah Encik Mohd Hamri Bin Abidin AMK., BCK. Dibawah naungan beliau Lembaga Sumber Air Negeri Kedah ditransformasikan sebagai sebuah agensi yang memfokuskan kepada kelestarian sumber air terpelihara serta memastikan pulangan keberhasilan maksimum penggunaan sumber air kepada Negeri Kedah.

Mulai Februari 2016, Negeri Kedah berada dibawah pentadbiran Menteri Besar Negeri Kedah yang baru selaku Pengerusi Lembaga Sumber Air Negeri Kedah. Muafakat melangkah kehadapan, berganding bahu memacu potensi ekonomi Lembaga, menjadikan pegangan warga Lembaga Sumber Air Negeri Kedah seiring jalan bersama pembangunan negeri dibawah pacuan Menteri Besar Negeri Kedah YAB. Dato' Seri Diraja Ahmad Bashah Bin Md. Hanipah, SHMS., SSDK., DHMS., DSDK., KMN., AMK., PPN., BKM., PJK., JP. Komitmen jabatan yang lebih cemerlang diwujudkan dengan mengetepikan emosi, lebih kreatif dan inovatif dalam memacu jabatan serta memastikan dasar-dasar, pelan pengambilan dan operasi dilaksanakan dengan sewajarnya.

Comments

TOP