LSANK menerima jemputan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia untuk menyertai 2024 East Asian Seas Congress and World Ocean Week yang dianjurkan oleh Partnerships in Environmental Management for Seas of East Asia (PEMSEA) pada 6 November 2024 hingga 8 November 2024 yang diadakan di Xiamen, China. LSANK telah diwakili oleh Encik Badrul Hisham bin Abdul Ghafar, Ketua Bahagian Perancangan dan Pengurusan Lembangan untuk memberi pendedahan dan informasi tentang isu-isu kritikal yang berkaitan dengan pengurusan lembangan sungai dan pantai di kawasan Asia Timur. Tema utama tahun ini adalah “Sinergi Biru untuk Masa Depan Bersama: Laut yang Mampan dan Tahan Lama” yang menekankan kerjasama dan amalan mampan dalam pengurusan lautan.
Program ini berusaha untuk mengukuhkan rangkaian dan perkongsian antara kerajaan, NGO dan sektor swasta untuk menangani cabaran yang mendesak pada ketika ini seperti perubahan iklim, pencemaran marin dan kehilangan biodiversiti yang merangkumi Memorandum Menandatangani Kontrak ASEAN ENMAPS yang bertujuan meningkatkan rangkaian kawasan perlindungan marin di seluruh Asia Tenggara.
Selain itu, pameran disertai oleh NGO, pihak swasta dan universiti yang menekankan tentang kepentingan memelihara hidupan di daratan dan lautan bagi keharmonian semua hidupan dengan mengambil inisiatif untuk memberikan pengetahuan tentang tadbir urus lautan dan penggunaan sumber yang mampan.
Dengan adanya program ini, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia telah mencadangkan Sungai Kedah supaya dijadikan sebagai satu tapak projek kawalan alam sekitar. PEMSEA akan menjalankan kajian berdasarkan semua indikator dan menggunapakai piawaian yang telah dibangunkan iaitu State Of The River Basin Reporting (SORB).
You must be logged in to post a comment.