MEDIA DISARAN PERBANYAKKAN BERITA BERKAITAN AIR

/ / Arkib, Berita

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mahu pihak media melaporkan lebih banyak berita berkaitan air.

GEORGE TOWN, 27 Sept — Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (empat, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa (empat, kiri) bersama wakil media yang menerima anugerah cemerlang pada Media Night 2019 yang dianjurkan oleh PBAPP di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata laporan berita berkaitan air seperti di Ulu Muda dan Sungai Muda antara Januari 2018 dan Ogos 2019 telah membantu menghasilkan keputusan yang positif.

Katanya, kerajaan negeri dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) sudah mengumumkan larangan pembalakan di Ulu Muda bagi memulihara kawasan tadahan air selepas beberapa berita dan gambar berhubung pembalakan haram di kawasan itu dilaporkan sejak September tahun lalu.

“Pada Julai tahun ini, laporan berita yang mendedahkan pembuangan sisa haram di Sidam Kiri, Kedah, juga mengelak ancaman pencemaran air bekalan air di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada malam penghargaan media PBAPP malam tadi.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada media massa kerana memaparkan cadangan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

“Ia seterusnya mendorong KATS memberi perhatian kepada cadangan SPRWTS ketika ini, selepas Kerajaan Persekutuan terdahulu gagal melaksanakan skim ini selama lapan tahun,” katanya.

Zakiyuddin bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa kemudian menyampaikan “Outstanding Water News Awards” untuk tujuh syarikat penerbitan berita bagi laporan berita dan gambar yang diterbitkan.

Setiap syarikat media berkenaan menerima RM1,000 yang kemudiannya akan disumbangkan kepada pertubuhan amal pilihan mereka. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *