Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 31 Oktober 2007 telah bersetuju menerima pakai Rang Undang-Undang Sumber Air Kedah 2007. Pada 18 November 2007 rang undang-undang tersebut telah diangkat untuk kelulusan. Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada 21 November 2007 telah bersetuju meluluskan Enakmen Sumber Air Negeri Kedah.
Enakmen Sumber Air Negeri Kedah telah diwartakan pada 27 Mac 2008. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 11 November 2009 telah menetapkan tarikh penguatkuasaan Enakmen Sumber Air Negeri Kedah 2008 pada 1 Jun 2010.
Kuasa Lembaga menurut Enakmen Sumber Air Negeri Kedah 2008 Seksyen 7 (g) menyatakan lembaga mempunyai kuasa untuk melakukan semua perkara yang perlu untuk atau bersampingan dengan penunaian fungsinya.
Berdasarkan Seksyen 7 (a)-(g) Enakmen Sumber Air Negeri Kedah 2008 Lembaga hendaklah mempunyai kuasa seperti berikut :-
Untuk meluluskan rancangan lembangan sungai yang disediakan oleh Pengarah Sumber Air untuk dikemukakan bagi kelulusan Pihak Berkuasa Negeri ;
Untuk menasihati dan membantu Pihak Berkuasa Negeri dalam merumuskan atau mengkaji semula perundangan, arahan dan tatacara dengan tujuan untuk menggalakkan atau memudahkan pelaksanaan pengurusan sumber air bersepadu ;
Untuk meluluskan projek pembangunan yang berkaitan pengurusan sumber air bersepadu untuk dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri atau Persekutuan yang berkenaan dengan tujuan untuk memperoleh bantuan kewangan dan teknikal yang dikehendaki ;
Untuk membahagi negeri kepada daerah lembangan sungai, menetapkan dan menentukan sempadan mereka bagi pengurusan yang wajar bagi Jawatankuasa Lembangan Sungai ;
Untuk meluluskan dan mengeluarkan garis panduan,piawaian pelaksanaan, kaedah-kaedah dan tatacara mengenai pengurusan, penggunaan dan pemuliharaan air ;
Untuk mengeluarkan kepada agensi berkaitan dan mana-mana orang lain, apa-apa arahan yang difikirkannya perlu ; dan
Untuk melakukan semua perkara yang perlu untuk atau bersampingan dengan penunaian fungsinya.