ALOR SETAR 08 OGOS – Sektor pelancongan kesihatan berpotensi
dibangunkan di Langkawi kerana memiliki pelbagai fasiliti terutama Lapangan
Terbang Antarabangsa Langkawi yang menawarkan penerbangan terus dari luar
negara.Datuk Amiruddin Hamzah (Bersatu-Anak Bukit) berkata, negara ini juga
dinobatkan sebagai destinasi lima terbaik dunia dalam sektor berkenaan dan
mampu memberi tempias kepada Langkawi sebagai lokasi baharu pelancongan
kesihatan negara.
Menurutnya, sebelum ini terdapat perancangan membangunkan Pantai Kok termasuk
membina hospital antarabangsa di Langkawi, dan berharap projek itu dapat dikaji
semula.“Kita boleh jadikan Langkawi sebagai pusat pelancongan kesihatan yang
hebat dengan menaik taraf beberapa aspek. Selain memiliki pemandangan indah,
pelancong boleh dapatkan rawatan di pulau legenda,” katanya pada persidangan
Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman, hari ini.Menjawab soalan
tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) berhubung cadangan Institut
Jantung Negara (IJN) mengadakan kerjasama dengan Hospital Kulim sebelum ini,
Amiruddin yakin ia mampu melonjakkan Kedah sekiranya cadangan itu
direalisasikan.
“Ada cadangan wujudkan satu pusat IJN di Utara, untuk penuhi keperluan penduduk
setempat namun kurang sesuai jika dibina di Langkawi, mungkin boleh dicadangkan
bina di tanah besar Kedah, saya yakin sektor ini mempunyai pasaran luas,”
katanya.Amiruddin turut mencadangkan agar Kedah mempelbagaikan penerokaan dalam
sektor pelancongan lain, antaranya pelancongan pelayaran atau River
Cruise.“Bangunkan River Cruise menyusuri Sungai Kedah dan Sungai Merbok,
seperti di Melaka. Pakejkan khazanah sedia ada, bermula dari Ampang Jajar ke
Tanjung Chali, sudah ada inisiatif perindahkan bangunan warisan di Pekan Cina
dan Pekan Melayu ada mural.
Seterusnya laluan ke jeti Masjid Zahir hingga ke Sungai Bohor, termasuk Gunung
Keriang yang memiliki formasi unik batuan,” katanya.Katanya, sektor pelancongan
tidak memerlukan pelaburan besar namun memberi pulangan baik kepada ekonomi
negeri.“Kedah mempunyai khazanah dan warisan lama yang perlu digilap sebagai
produk pelancongan, saya yakin ia mampu gamit pelancong ke tanah besar,”
katanya.Amiruddin berkata, negara menyasarkan kemasukan 28.1 juta pelancong
luar negara tahun ini dengan pendapatan kasar RM92 bilion, manakala sasaran 30
juta pelancong dengan RM100 bilion pada tahun depan.“Kedah harus ambil peluang,
antaranya pelancongan perniagaan dianggarkan seramai 2.9 juta dan menjana RM4
bilion pendapatan negara kasar, selain wujudkan 16,320 peluang kerja,” katanya.
You must be logged in to post a comment.