KELESTARIAN HUTAN SIMPAN ULU MUDA FOKUS UTAMA KEDAH
Ku Azizah Ku Hamid
SIK – Kerajaan Negeri Kedah menekankan kepentingan untuk melindungi Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air utama yang menyokong kelangsungan hidup rakyat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria, kerjasama strategik perlu diperkukuhkan antara kerajaan negeri bersama Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Alam Sekitar bagi menjaga ekosistem kritikal demi generasi akan datang.
“Pendekatan bersepadu ini membolehkan setiap agensi memahami peranan masing-masing dan meningkatkan keberkesanan langkah pemuliharaan.
“Selain itu, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan hutan sungai dan tadahan air adalah kunci kepada kejayaan pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Program Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) Eksplorasi Hutan Ulu Muda, di sini, hari ini.
Mohamad Yusuf berkata, dengan penglibatan aktif masyarakat, penjawat awam dan pelbagai pihak berkepentingan, kerajaan negeri berharap usaha pemuliharaan dapat diteruskan secara berkesan sekaligus memastikan bekalan air bersih lebih stabil serta menjamin kelestarian ekosistem jangka panjang.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Perancangan dan Pengurusan Lembangan LSANK, Badrul Hisham Abd Ghafar berkata, program eksplorasi itu bukan sekadar pengembaraan, ia merupakan satu tanggungjawab untuk memahami, menghargai dan melindungi ekosistem sumber air yang menyokong kehidupan jutaan rakyat Kedah.
Beliau menekankan, pendekatan holistik ini penting bagi memastikan pengurusan sumber air yang lestari di seluruh negeri.
“Langkah ini sejajar dengan agenda pembangunan lestari Kerajaan Negeri Kedah, di mana setiap program dan projek pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar dijalankan dengan mengambil kira keseimbangan ekologi dan kepentingan masyarakat setempat.
“Dengan pendekatan bersepadu ini, Hutan Simpan Ulu Muda akan terus menjadi nadi utama sumber air bersih sambil memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelangsungan ekosistem kritikal untuk masa depan negeri,” kata beliau.

- Published in Berita
MESYUARAT DAN PERBINCANGAN MENGENAI PEMATUHAN DAN KESELAMATAN AKTIVITI DI KAWASAN PERAIRAN PANTAI DAERAH LANGKAWI

LANGKAWI, 13 Januari 2026 – Polis Langkawi telah mengadakan Mesyuarat dan Perbincangan mengenai Pematuhan dan Keselamatan Aktiviti di kawasan Perairan Pantai Daerah Langkawi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Tingkat 3 Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh IPD Langkawi ini turut dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, Pegawai Daerah dan Tanah Langkawi bersama YBrs Tuan Mohd Hamri bin Abidin, YDP Majlis Perbandaran Daerah Langkawi. Turut serta YDH ACP Khairul Azhar Nuruddin, Ketua Polis Daerah Langkawi serta kehadiran dari Agensi-agensi luar di dalam daerah Langkawi.
Mesyuarat ini merupakan kali pertama diadakan serta mendapat sokongan penuh dari Pegawai Daerah dan Tanah Langkawi serta Yang DiPertua Majlis Perbandaran Daerah Langkawi dan pelbagai Agensi-agensi. Ianya merupakan satu perancangan beserta tindakan proaktif demi memastikan keselamatan serta berkolaborasi bersama agensi-agensi yang terlibat Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

- Published in Berita
KEDAH CATAT REKOD KUTIPAN HASIL TERTINGGI RM816 JUTA
Nur Akasyah Sabri
Wartawan UPDA
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mencatatkan rekod kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 25 tahun dengan nilai sebanyak RM816 juta.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian ini melepasi sasaran ditetapkan iaitu 103 peratus, sekali gus mengatasi kutipan hasil bagi tahun 2025 dengan jumlah RM790 juta.
“Lebih membanggakan, pencapaian kutipan hasil 100 peratus ini telah berjaya direalisasikan selama dua tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2024 dan 2025.
“Saya berharap agar kejayaan ini dapat dicapai lagi pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2026 sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Syed Khairol Anwar Syed Abidin.
Mengulas lanjut, beliau berkata aliran peningkatan hasil negeri menunjukkan trend yang semakin memberangsangkan dari tahun ke tahun.
“Pada tahun 2023, jumlah hasil dikutip ialah sebanyak RM629 juta, meningkat kepada RM769 juta pada tahun 2024, dan seterusnya mencapai RM816 juta pada tahun 2025,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata kerajaan negeri turut mencatatkan lebihan atau surplus sebanyak RM48 juta hasil perbandingan antara kutipan hasil dan perbelanjaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) serta agensi lain yang menyumbang secara signifikan kepada hasil negeri melalui pulangan keuntungan untuk manfaat rakyat.
“Ini membuktikan komitmen dan kesungguhan seluruh jentera pentadbiran negeri dalam melaksanakan serta menjayakan dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” ucapnya.
sumber : Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA

- Published in Berita
𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐊𝐄𝐌 𝐊𝐄𝐒𝐄𝐃𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐒𝐄𝐊𝐈𝐓𝐀𝐑 𝐏𝐄𝐑𝐈𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓 𝐋𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐖𝐈 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟒
LSANK telah menyertai Program Kem Kesedaran Alam Sekitar (KEKAS) Peringkat Daerah Langkawi Tahun 2024 di Faridzuan Motel, Pulau Tuba, Langkawi pada 9 Oktober 2024 bertemakan Alamku Indah Tanpa Pembakaran Terbuka sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Tahun 2024.
LSANK mengambil inisiatif dengan mengadakan taklimat dan aktiviti kepada peserta program ini dengan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber alam semula jadi. Kem ini juga bertujuan untuk meningkatkan kerjasama di antara agensi, sekolah dan komuniti setempat dalam usaha mendidik peserta tentang pentingnya menjaga alam sekitar.
LSANK melaksanakan fungsi Seksyen 11(2)(i), Enakmen Sumber Air Kedah 2008 iaitu memudahkan aktiviti pembinaan kesedaran dan keupayaan untuk agensi berkaitan dan sektor swasta.

- Published in Berita
𝐊𝐀𝐑𝐍𝐈𝐕𝐀𝐋 𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐒𝐄𝐊𝐈𝐓𝐀𝐑 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐊𝐄𝐃𝐀𝐇 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟒, 𝐏𝐀𝐑𝐋𝐈𝐌𝐄𝐍 𝐉𝐄𝐑𝐋𝐔𝐍, 𝐊𝐔𝐁𝐀𝐍𝐆 𝐏𝐀𝐒𝐔 𝐊𝐄𝐃𝐀𝐇
LSANK telah menyertai pameran reruai agensi sempena Karnival Alam Sekitar Negeri Kedah Peringkat Parlimen Jerlun, Kubang Pasu yang berlangsung selama 4 hari bermula 24 Oktober 2024 hingga 27 Oktober 2024 bertempat di Dataran Putra Jerlun (Tapak Nat Ayer Hitam), Kedah anjuran Kerajaan Negeri Kedah melalui Pejabat Exco YB Tuan Haji Mohammad Yusoff@Munir Haji Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar.
Jom pakat-pakat mai di booth LSANK (berhadapan pentas utama). Pelbagai hadiah istimewa menanti anda yang hadir di booth LSANK.
PELBAGAI AKTIVITI MENARIK MENANTI ANDA :![]()
• PAMERAN JABATAN KERAJAAN ![]()
• GERAI JUALAN ![]()
• JERLUN RIDE SHOW![]()
• KEJOHANAN FUTSAL![]()
• FORUM PERDANA ![]()
• JERLUN FUN RIDE ![]()
• JERLUN BERSELAWAT ![]()
• JERLUN BENDANG FUN RUN ![]()
• PERTUNJUKAN API ![]()
• BELON PANAS ![]()
• MINI ZOO ![]()
• SOOPA DOOPA ![]()
• CABUTAN BERTUAH ![]()
PERSEMBAHAN ARTIS JEMPUTAN ![]()
ARIS ARIWATAN
POEY STINGS
LESTARI
SRI BANGSAWAN KEDAH
RABBANI

Projek telaga tiub siap, masalah gangguan air Kampung Namek selesai
SIK, 29 Oktober-Masalah gangguan bekalan air yang membelenggu penghuni 200 buah rumah di Kampung Namek, Sik, Kedah kini menemui jalan penyelesaian.
Ia selepas Projek Bekalan Sumber Air Alternatif (Telaga Tiub) Masjid An Naim, Kampung Namek di Sik, siap dilaksanakan oleh Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).
Pengarah LSANK, Syed Amaluddin Hafeez Syed Musa berkata, projek tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi membantu mengatasi isu ketidakcukupan bekalan air di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, Projek Bekalan Sumber Air Alternatif di Masjid An Naim, Kampung Namek, Sik yang melibatkan kos sebanyak RM50,000 mula dilaksanakan pada Ogos lalu dan siap dibina baru-baru ini.
Ia merupakan inisiatif bagi memenuhi salah satu fungsi LSANK iaitu menyelaras cari gali dan pembangunan sumber air tambahan.
Beliau berharap dengan adanya inisiatif yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis penyerahan projek tersebut di Masjid An Naim, Kampung Namek, di sini.
Katanya, LSANK mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang berminat untuk mewujudkan telaga tiub bagi menampung keperluan bekalan air.


- Published in Berita
Kedah simpan air semaksimum mungkin bagi hadapi kemarau 2025
Alor Setar: Kedah akan memastikan semua empangan sedia ada di negeri ini membuat simpanan air secara maksimum sebagai persediaan menghadapi musim kemarau yang dijangka lebih panjang tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air serta Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, bagi meminimumkan kesan kemarau, pelepasan air empangan bagi kegunaan domestik dan pertanian turut dikawal mengikut keperluan semasa.
“Pelepasan air ini dibuat mengikut prosedur operasi standard yang tertentu, ia tidak dilepas begitu saja.
“Pelepasan air empangan bagi kegunaan domestik dan pertanian akan dikawal mengikut keperluan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PN-Tokai) berkenaan persediaan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dalam menghadapi kemarau panjang pada tahun hadapan seperti yang diramal Jabatan Meteorologi Malaysia.Mohamad Yusoff berkata, LSANK mempunyai pelan jangka pendek dan panjang untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi kegunaan domestik dan pertanian di negeri ini.
Katanya, bagi pelan jangka pendek, LSANK mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (Nadma) bagi Operasi Pembenihan Awan (Opa) di kawasan tadahan dan pada tahun ini yang dilakukan pada 29 hingga 31 Julai lalu.
“Pelaksanaan Opa membabitkan kawasan tadahan Empangan Muda dan Pedu dengan operasi itu diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan bagi meningkatkan kapasiti simpanan air di empangan,” katanya.Mengulas lanjut, Mohamad Yusoff berkata, bagi pelan jangka panjang pula, beliau berkata, LSANK sudah memohon kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra) untuk pembangunan kolam Takungan Air Pinggiran Sungal (TAPS) melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Katanya, terdapat 27 tapak di Lembangan Sungai Muda yang sudah dikenal-pasti berpotensi untuk dibangunkan.
“Melalui RMK-12, ada tiga cadangan pembangunan kolam TAPS di sepanjang Lembangan Sungai Muda dan satu di Lembangan Sungai Kedah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, LSANK merancang untuk mengemukakan lagi permohonan dalam RMK-13 untuk pembangunan TAPS dan empangan rendah di sepanjang Lembangan Sungai Muda.
Katanya, pembangunan empangan rendah berhampiran dengan muka sauk loji rawatan air (LRA) akan membantu meningkatkan paras air di kawasan muka sauk pada musim kemarau dan membantu mengurangkan gangguan terhadap operasi LRA.

- Published in Berita
Paras air Empangan Muda, Bukit Merah tidak berubah, OPA akan diteruskan
Yan: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan semalam belum berjaya meningkatkan paras air di Empangan Muda di negeri ini dan Empangan Bukit Merah, Perak.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata operasi yang dilaksanakan semalam adalah permulaan dan akan diteruskan pada hari ini dan esok.
“Kalau tengok empangan itu parasnya masih tidak berubah, daripada bacaan kelmarin dengan bacaan semalam itu masih paras yang sama, tapi insya-Allah itu ikhtiar kita.
“Jadi bagaimana untuk kita pastikan bekalan air masih boleh dibekalkan, itu kena minta bantuan daripada semua pihak yang berkenaan,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan projek Pembinaan Empangan Sabo serta Kerja-Kerja Berkaitan di Daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah Fasa 1 (Reka dan Bina) di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata selain Empangan Muda dan Empangan Bukit Merah, ketika ini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang memantau keadaan di beberapa empangan termasuk enam lagi yang paras airnya berada pada tahap berjaga-jaga.”Kita telah memberi peringatan kepada semua negeri untuk mengambil langkah-langkah mitigasi buat persiapan dan bagaimana untuk mengelakkan daripada perkara ini bertambah serius.
“Sebab kalau ikut jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia sendiri mengatakan ada kemungkinan kering ini hingga September. Jadi itu memang kita kena berwaspada atau bersiap sedia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata jumlah takungan air di Empangan Beris di Sik dijangka mampu menampung keperluan domestik di negeri ini dan Pulau Pinang hingga September.
“Empangan Beris ialah kawasan simpanan rizab air mentah yang akan digunakan pada waktu-waktu kritikal seperti ini kerana jika tidak dilepaskan bukan sahaja bekalan air ke Pulau Pinang terjejas, tetapi juga Syarikat Air Darul Aman (SADA) sendiri tidak boleh salurkan air kepada pengguna di negeri ini.
“Apa-apa pun kita mengharapkan penggunaan yang berhemah oleh orang ramai agar bekalan sedia ada dapat terus menampung permintaan pengguna sehingga paras empangan kembali stabil,” katanya.

- Published in Berita
Empangan bawah tanah: Kedah akan hantar pasukan teknikal ke Jepun
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan menghantar pasukan teknikal ke Jepun bagi meninjau operasi empangan air bawah tanah di negara itu berikutan cadangan membina empangan sama di Langkawi.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata cadangan membina empangan bernilai lebih RM300 juta itu telah diluluskan di peringkat Lembaga Sumber Air Negeri Kedah.
“Model ni ada di Jepun… Kalau jadi di Langkawi, ia yang pertama di Malaysia. Banyak di Jepun, di pulau-pulau mereka gunakan (empangan bawah tanah).
“Menurut konsultan Jepun yang cadang tu, (di Langkawi) sesuai dibina kerana ada hamparan batu tepi dan bawah, sungai di atas, cuma kita perlu sekat sikit saja untuk jadikan empangan bawah tanah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah semalam.
Sebelum ini, Kedah telah mengemukakan cadangan penerokaan sumber air bawah tanah sebagai alternatif bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih di negeri ini.
Pada awal Mac lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata agensi kerajaan sedang membuat kajian dan akan melaksanakan projek perintis empangan air bawah tanah di Padang Mat Sirat, Langkawi.
Kedah mempunyai enam empangan utama yang membekalkan bekalan air mentah kepada sektor domestik, industri serta pertanian iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda, Empangan Ahning, Empangan Beris, Empangan Bukit Malut dan Empangan Padang Saga.

- Published in Berita
MAKLUMAN GANGGUAN BEKALAN AIR BAGI KAWASAN YANG TERLIBAT OLEH PIHAK Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd.
- Published in Berita












