Ku Azizah Ku Hamid
SIK – Kerajaan Negeri Kedah menekankan kepentingan untuk melindungi Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air utama yang menyokong kelangsungan hidup rakyat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria, kerjasama strategik perlu diperkukuhkan antara kerajaan negeri bersama Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Alam Sekitar bagi menjaga ekosistem kritikal demi generasi akan datang.
“Pendekatan bersepadu ini membolehkan setiap agensi memahami peranan masing-masing dan meningkatkan keberkesanan langkah pemuliharaan.
“Selain itu, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan hutan sungai dan tadahan air adalah kunci kepada kejayaan pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Program Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) Eksplorasi Hutan Ulu Muda, di sini, hari ini.
Mohamad Yusuf berkata, dengan penglibatan aktif masyarakat, penjawat awam dan pelbagai pihak berkepentingan, kerajaan negeri berharap usaha pemuliharaan dapat diteruskan secara berkesan sekaligus memastikan bekalan air bersih lebih stabil serta menjamin kelestarian ekosistem jangka panjang.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Perancangan dan Pengurusan Lembangan LSANK, Badrul Hisham Abd Ghafar berkata, program eksplorasi itu bukan sekadar pengembaraan, ia merupakan satu tanggungjawab untuk memahami, menghargai dan melindungi ekosistem sumber air yang menyokong kehidupan jutaan rakyat Kedah.
Beliau menekankan, pendekatan holistik ini penting bagi memastikan pengurusan sumber air yang lestari di seluruh negeri.
“Langkah ini sejajar dengan agenda pembangunan lestari Kerajaan Negeri Kedah, di mana setiap program dan projek pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar dijalankan dengan mengambil kira keseimbangan ekologi dan kepentingan masyarakat setempat.
“Dengan pendekatan bersepadu ini, Hutan Simpan Ulu Muda akan terus menjadi nadi utama sumber air bersih sambil memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelangsungan ekosistem kritikal untuk masa depan negeri,” kata beliau.





You must be logged in to post a comment.