PENCURI BALAK BAWA DADAH

JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan dua lelaki yang sedang leka mencuri kayu balak di Kompartmen 9 Gunung Inas, di Baling, semalam.
Pengarah JPNK Roslan Rani berkata, dalam serbuan kira-kira 3 petang itu, anggota JPNK turut menemui satu plastik berwarna putih disyaki mengandungi dadah dalam beg salah seorang daripada mereka.
“Semasa serbuan, kedua-dua lelaki terbabit sedang mengangkat kayu jenis meranti tembaga ke atas lori di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) berkenaan
“Menyedari kehadiran pasukan JPNK, salah seorang daripada mereka cuba melarikan diri dan pemeriksaan lanjut pada beg miliknya mendapati terdapat plastik putih dipercayai mengandungi dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Roslan berkata kedua lelaki berusia 28 dan 30 tahun itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Hutan Renjer Tawar untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke Balai Polis Kupang untuk membuat laporan polis.
Katanya kedua-dua suspek, penduduk tempatan, ditahan selepas perbincangan dilakukan bersama Pegawai Penyiasat JPNK.
“Lori serta dua unit mesin gergaji turut disita dan dibawa ke stor sitaan JPNK di Pejabat Hutan Renjer Jeniang untuk tindakan lanjut.
“Sehingga kini JPNK masih menyiasat jumlah kerugian akibat kegiatan curi balak di kawasan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan penangkapan suspek berkenaan dan penemuan dadah syabu pada salah seorang suspek itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/505140/pencuri-balak-bawa-dadah
JEMPUTAN PROGRAM KAWALAN MUTU AIR MINUM (KMAM) PERINGKAT NEGERI KEDAH
📌 1 Oktober 2019 hingga 3 Oktober 2019 di Daerah Sik, Kedah Darul Aman.
✅ Program ini diadakan bagi meningkatkan mutu air minum melalui pemantauan kualiti dari sumber air mentah dan air terawat. Lembaga Sumber Air Negeri Kedah dijemput untuk bersama-sama menjayakan kajian kebersihan anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.








SUNGAI SEGALIUD SAH TERCEMAR

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Sabah mengesahkan pencemaran yang berlaku di Sungai Segaliud, Sandakan, akibat sisa buangan kilang di kawasan berhampiran.
Pengarahnya, Amirul Aripin berkata, laporan berhubung pencemaran itu diterima pada 26 September lalu dan pada hari yang sama sepasukan pegawai menjalankan pemeriksaan di sungai terbabit.
Katanya, siasatan mendapati punca kejadian dipercayai daripada sisa kilang yang sudah dikenal pasti.“Dakwaan pencemaran berlaku di Sungai Segaliud didapati berasas berdasarkan siasatan pihak kami.
“Pihak kami ketika ini giat menjalankan proses pengumpulan bukti di lapangan dan dalam masa terdekat, kami akan menyiapkan siasatan lengkap berkaitan pencemaran ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Amirul berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Tindakan akan diambil sekiranya mereka melanggar kesalahan peraturan yang ditetapkan.
“Kami turut berharap dalam masa terdekat ini, tindakan undang-undang dapat diambil. Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliing 1974,” katanya.
Terdahulu, pada 26 September lalu penduduk kampung mendapati air Sungai Segaliud bertukar hitam selain ikan dan udang mati sebelum bangkainya timbul di permukaan sungai.
Sementara itu, nelayan, Mail Until, 44, berkata, punca pendapatan mereka terjejas sejak sungai itu tercemar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Tiada ikan dan udang boleh dipukat lagi. Semua sudah mati dan benih ikan termasuk anak ikan pun mati.
“Biasanya selepas berlaku pencemaran begini, ia akan mengambil tempoh sehingga enam bulan atau setahun baru ikan dan udang dapat dipukat semula,” katanya.
Sehubungan itu, Mail berharap perkara itu dapat diselesaikan dan dalam masa sama ada pihak yang dapat membantu mereka kerana semua nelayan di kampung itu kini sudah hilang punca pendapatan.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/502768/sungai-segaliud-sah-tercemar
MEDIA DISARAN PERBANYAKKAN BERITA BERKAITAN AIR
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mahu pihak media melaporkan lebih banyak berita berkaitan air.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata laporan berita berkaitan air seperti di Ulu Muda dan Sungai Muda antara Januari 2018 dan Ogos 2019 telah membantu menghasilkan keputusan yang positif.
Katanya, kerajaan negeri dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) sudah mengumumkan larangan pembalakan di Ulu Muda bagi memulihara kawasan tadahan air selepas beberapa berita dan gambar berhubung pembalakan haram di kawasan itu dilaporkan sejak September tahun lalu.
“Pada Julai tahun ini, laporan berita yang mendedahkan pembuangan sisa haram di Sidam Kiri, Kedah, juga mengelak ancaman pencemaran air bekalan air di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada malam penghargaan media PBAPP malam tadi.
Beliau juga melahirkan penghargaan kepada media massa kerana memaparkan cadangan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
“Ia seterusnya mendorong KATS memberi perhatian kepada cadangan SPRWTS ketika ini, selepas Kerajaan Persekutuan terdahulu gagal melaksanakan skim ini selama lapan tahun,” katanya.
Zakiyuddin bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa kemudian menyampaikan “Outstanding Water News Awards” untuk tujuh syarikat penerbitan berita bagi laporan berita dan gambar yang diterbitkan.
Setiap syarikat media berkenaan menerima RM1,000 yang kemudiannya akan disumbangkan kepada pertubuhan amal pilihan mereka. – BERNAMA
SUNGAI, SUMBER AIR LEBIH TERPELIHARA DENGAN UNDANG-UNDANG BAHARU

KUALA LUMPUR — Langkah penguatkuasaan akan dipertingkat dalam mengatasi isu pencemaran sungai dan menjaga sumber air negara apabila Rang Undang-undang Sumber Air diluluskan di Parlimen.
“Rang undang-undang yang akan datang ini akan kita kuatkuasakan, buat masa ini kita akan bawa ke Dewan Rakyat. Rang undang-undang itu akan meliputi semua yang berkaitan dengan air,” kata Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan langkah kerajaan menangani isu pencemaran sungai yang dilihat sering berlaku sejak kebelakangan ini.
Pada 29 April lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, kementerian itu telah menggubal rang undang-undang itu yang seragam dan komprehensif untuk digunakan oleh semua negeri bagi memperkasa pengurusan, kawalan dan penguatkuasaan sumber air di seluruh negara.
Sementara itu, Tengku Zulpuri Shah dalam ucapannya berkata, sambutan pada hari ini dibuat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai untuk semua kehidupan.
Menurut beliau, kebanyakan pencemaran pada hari ini berpunca daripada aktiviti manusia sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Sudah tiba masanya masyarakat mengubah mentaliti ke arah yang lebih peka terhadap kesan buruk yang bakal dihadapi agar mereka tidak sewenang-wenangnya membuang sampah,” katanya.
JEMPUTAN SAMBUTAN HARI SUNGAI SEDUNIA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2019
📌 29 September 2019 (Ahad) di Dataran Sungai Selangor, Ampang Pechah, Kuala Kubu Bahru, Selangor
✅ Sambutan Hari Sungai Sedunia telah berjaya dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor. Program ini diadakan sebagai inisiatif untuk memupuk semangat kesedaran tentang kepentingan memelihara sungai dalam kehidupan seharian.










JAS JOHOR TIDAK DAPAT SAHKAN DATA ANALISIS SUNGAI

Mohd Famey (kiri) menyaksikan penyerahan alat pengesan gas wakil industri kepada wakil sekolah dalam program pagi tadi. – FOTO: SINAR HARIAN
PASIR GUDANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor tidak dapat mengesahkan data analisis pencemaran sungai yang didedahkan Biro Aduan Awam Putra Jumaat lalu.
Pengarahnya, Mohd Famey Yusoff berkata, teknik dan taktik pengambilan sampel air perlu mengikut piawaian ditetapkan bagi menentukan kepekatan bahan tercemar.
“Ada cara dan teknik sepatutnya dipatuhi ketika mengambil sesuatu sampel. Jadi pihak JAS tak dapat pastikan sama ada teknik dan taktik diambil individu memenuhi piawaian ditetapkan.
“JAS tak dapat nak pastikan data itu benar atau tidak sebab kita kena faham air itu mengalir,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan program Sekolah Angkat Industri Daerah Pasir Gudang (PROSPAG) 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang hari ini.
Menurutnya, data kandungan air yang mengalir akan berbeza setiap waktu.
“Kalau puan (pemberita) ambil (sampel air) sekarang dengan esok, (kandungannya) lain. Sampel jam sekarang dengan jam berikutnya pun dah lain sebab air itu mengalir.
“Jadi ini semua memainkan peranan dalam menentukan kepekatan bahan tercemar dalam air,” katanya.
Jumaat lalu Biro Aduan Awam Putra mendedahkan keputusan ujian makmal sampel air 10 lokasi di jajaran Sungai Kim Kim yang menunjukkan tahap pencemaran berganda daripada kategori sungai mati

Dalam pada itu Mohd Famey berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan hasil analisis semua sungai di Pasir Gudang kerana masih dalam siasatan.
“Bukan kata kita nak simpan (hasil analisis) tapi perkara itu masih dalam siasatan kita. Kalau saya dedahkan, kes pegawai penyiasat saya rosak. Jadi ada perkara yang kita perlu patuhi,” katanya.
Sementara itu dalam program fasa pertama itu, sebanyak 16 industri di Pasir Gudang telah menyerahkan alat pengesan gas kepada 20 buah sekolah angkat masing-masing.
Kata Mohd Famey, sehingga kini 64 industri di Pasir Gudang telah bersetuju untuk membekalkan alat pengesan gas kepada 111 sekolah yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim dan isu gangguan kesihatan.
LAWATAN PEMANTAUAN DAN PENGUATKUASAAN OLEH UNIT PENGUATKUASAAN DENGAN KERJASAMA UNIT OPERASI DAN PENYELIDIKAN
📌 25 September 2019 (Rabu) di Perairan Langkawi, Kedah Darul Aman.
✅ Sesi penerangan dan serahan notis telah dijalankan untuk tujuan permohonan Lesen Aktiviti Badan Perairan (Aktiviti Sangkar) bagi mematuhi Peraturan-Peraturan Sumber Air Kedah (Aktiviti Badan Perairan) 2015.







LAWATAN PEMANTAUAN DAN PENGUATKUASAAN OLEH UNIT PENGUATKUASAAN DENGAN KERJASAMA UNIT OPERASI DAN PENYELIDIKAN
📌 24 September 2019 (Selasa) di LADA ECO – Tourism Sdn. Bhd., Langkawi, Kedah Darul Aman.
✅ Satu serahan Notis Amaran telah dikeluarkan kepada premis atas kesalahan menjalankan aktiviti binaan di atas badan perairan.



LAWATAN PEMANTAUAN TAPAK BAGI KUARI TANAH MERAH
📌 24 September 2019 (Selasa) di Kg Padang Goyang, Daerah Langkawi, Kedah Darul Aman.
✅ Satu lawatan pemantauan tapak telah dijalankan bagi permohonan baru kuari tanah merah oleh Unit Operasi dan Penyelidikan dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan.















