TUNTUTAN PEMBAYARAN UNTUK KETERJAMINAN EKOSISTEM DI ULU MUDA
Kerajaan Negeri Kedah melalui Lembaga Sumber Air Negeri Kedah menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah.
Walaupun PBAPP menyatakan air yang diabstrak adalah di sebelah Negeri Pulau Pinang, namun tidak dapat dinafikan bahawa kawasan tadahan Ulu Muda yang membekalkan sumber air mentah kepada Negeri Pulau Pinang terletak di Negeri Kedah.
Selain itu, kos penyelenggaraan sepanjang sungai yang merentasi daerah-daerah di Negeri Kedah perlu diambilkira kerana kos ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kedah.
Kerajaan Negeri Kedah telah mendapati “Rare Earth Element” atau REE yang ditemui di Ulu Muda merupakan suatu bentuk galian mineral untuk menjana hasil baharu kepada Kerajaan Negeri Kedah. Justeru, semua pihak perlu menghormati dan tidak campur tangan dengan hak yang boleh diambil oleh Negeri Kedah demi kemakmuran bersama.
Pewartaan Enakmen Negeri yang menyatakan sempadan negeri diletakkan di garis pusat Sungai Muda telah pun berusia 35 tahun. Merujuk kepada asas pertimbangan “demand & supply” bekalan air pada ketika itu, tiada caj dinyatakan tetapi ianya perlu disemak dan dikaji semula pada masa kini.
Lembaga Sumber Air Negeri Kedah masih belum diwujudkan pada ketika itu. Ianya baru ditubuhkan melalui kelulusan Dewan Undangan Negeri Kedah selepas pewartaan Enakmen Sumber Air Kedah 2008 pada 27 Mac 2008. Lembaga Sumber Air Negeri Kedah adalah sebuah badan yang menguruskan sumber air di Negeri Kedah dan bertanggungjawab untuk memastikan sumber air negeri ini sentiasa berada di dalam keadaan terpelihara.
Selain itu, keperluan dan permintaan bekalan air terawat telah meningkat dengan mendadak berikutan dengan aktiviti perebakan pembangunan pada masa kini. Ini mengakibatkan jaminan terhadap sumber air mentah perlu sentiasa mencukupi dan tersedia. Oleh yang demikian, kos untuk mengekalkan sumber air mentah harus diberi perhatian yang serius agar dapat menampung keperluan tersebut.
Lembaga Sumber Air Negeri Kedah telah mengenakan caj pengabstrakan air mentah kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. bagi setiap meter padu untuk kegunaan pembekalan air terawat kepada rakyat di Negeri Kedah. Pulau Pinang turut mengabstrak sumber air yang sama meskipun di sebelah Pulau Pinang. Sehubungan dengan itu, adalah wajar sekiranya Kerajaan Pulau Pinang membuat pembayaran berbentuk “payment for ecosystem” kepada Kerajaan Negeri Kedah atas tujuan bagi mengekalkan kawasan tadahan air sebagai kawasan tadahan termasuk kos penyelenggaraan dan pemuliharaan sepanjang Sungai Muda yang akan berkeupayaan untuk menjamin bekalan air mentah yang berterusan dan mencukupi bagi keperluan rakyat di Negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Noorulhuda Binti Mohammed Ali, AMK., BCK.
Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah
- Published in Berita
KEDAH BELUM MUKTAMAD KONTRAK DUA SYARIKAT KONSESI AIR
ALOR SETAR – Kerajaan Kedah belum memuktamadkan kontrak dua syarikat konsesi air, Air Utara Indah dan Taliworks Sdn Bhd yang akan tamat pada tahun 2020.
Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Datuk Zamri Yusuf berkata, berdasarkan perjanjian dimeterai kerajaan terdahulu, konsesi tersebut tamat tahun depan namun kerajaan negeri akan mengumumkan sama ada kontrak itu disambung atau sebaliknya setelah semua rundingan selesai.
Menurutnya, buat masa ini, pihaknya masih melakukan perbandingan kos penghasilan, pengeluaran dan kutipan dari pelbagai aspek selain meneliti kelebihan dan kekurangan sebelum membuat justifikasi berhubung keputusan kontrak penswastaan itu.
“Kerajaan negeri sudah wujudkan jawatankuasa peringkat negeri, yang bekerjasama dalam rundingan bersama syarikat konsesi termasuk Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk kendalikan loji pengeluaran dan bekalan air serta mengenal pasti tahap keupayaan semasa dan pengoperasian, serta kos ditanggung kerajaan negeri,” katanya menjawab soalan lisan Yeo Keng Chuan (PKR-Kulim) yang bertanyakan status kontrak dua syarikat konsesi air tersebut, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
Zamri berkata, jawatankuasa terbabit merupakan komitmen kerajaan negeri dalam fasa transisi migrasi bekalan air di Kedah.
“Rundingan dan perbincangan masih berlaku, malah kita turut terima tawaran pihak korporat yang berhasrat untuk mengambil bahagian dalam operasi ini namun proses migrasi menyebabkan kita tertakluk pada akta dan kawalan bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), faktor ini turut diambil kira,” katanya.
Zamri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Sanusi Md Nor (Pas-Jeneri), berhubung keyakinan kerajaan negeri membenarkan Sada mengambil alih peranan syarikat konsesi dalam pengoperasian memandangkan berlaku penjimatan RM140 juta setahun.
SANGGUP HILANG HASIL BALAK DEMI JAGA SUMBER AIR
ALOR SETAR – Kedah merancang menambah keluasan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda walaupun terpaksa kehilangan hasil kepada negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan tersebut kerana penjagaan sumber air menjadi keutamaan.
Justeru, kerajaan negeri akan memohon sumbangan kerajaan Persekutuan kerana sudah kehilangan hasil.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM24.42 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk meningkatkan pengurusan, pembangunan semula kawasan hutan simpan dan peningkatan kemudahan di semua hutan lipur di negeri ini.
“Kawasan sedia ada yang telah diwartakan adalah seluas 40,102 ekar. Kerajaan bercadang menambah seluas 83,753 ekar menjadikan keseluruhan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda kepada 123,855 ekar. Ini adalah penambahan kawasan tadahan air sebanyak 209 peratus di Ulu Muda sahaja.
“Selain itu, kerajaan juga akan mewartakan kawasan seluas 20,240 ekar di Hutan Simpan Bukit Saiong, Sik sebagai kawasan tadahan air,” katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2020 di Wisma Darul Aman hari ini.
Dalam pada itu, seramai 4,511 wanita yang layak dan berdaftar di e-Kasih terpilih menerima bantuan kewangan bagi pembelian barangan asas sebanyak RM250 sebulan di bawah Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).
“Bagi memastikan rakyat termiskin mendapat bekalan makanan harian, kerajaan negeri melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah telah menubuhkan Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin di 576 masjid yang menelan belanja RM 10.5 juta setahun,” katanya.
Tambah Mukhriz antara perkara lain yang turut diberikan perhatian adalah meneruskan Tabung Khas Wanita Kedah pada 2020 dan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta.
“Sebanyak RM3 juta juga disediakan untuk pembangunan prasarana masjid dan surau,” katanya
BANJIR: 145 PENDUDUK BALING DIPINDAHKAN
ALOR SETAR – Seramai 145 penduduk melibatkan 49 keluarga di daerah Baling dipindahkan setakat jam 6 pagi tadi ke dua pusat pemindahan di daerah tersebut.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu masing-masing di Dewan Tun Razak (lama) dan Kompleks Sukan Batu 42.
Menurutnya, kesemua mangsa dipindahkan itu terdiri daripada penduduk dari Kampung Tanjung Merbau, Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Pantai.
“Kawasan ini mengalami hujan lebat serta angin kuat sejak jam 6 petang semalam yang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah sehingga 1 meter.
“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga melaporkan bacaan paras air di Rumah Pam Pulai berada pada paras bahaya iaitu 50.75 meter,” katanya melalui suatu kenyataan di sini hari ini.
Shamsul Izrin berkata, pihaknya turut menyampaikan bantuan awal berupa kelengkapan diri kepada mangsa seperti selimut, kain batik, kain pelikat dan lain-lain barangan untuk kegunaan mereka di pusat pemindahan.
“Beberapa agensi lain turut terlibat dalam operasi menyelamat mangsa di ketiga-ketiga kampung terbabit antaranya anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah dan Pejabat Parlimen Baling,” katanya.
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan seramai 38 mangsa daripada 17 keluarga di daerah ini turut dipindahkan ke pusat pemindahan di Kampung Seri Ketengga dan Kampung Batu 8, Mukim Siong berikutan air naik selepas hujan tanpa henti selama lebih tiga jam.
https://www.sinarharian.com.my/article/51199/EDISI/Utara/Banjir-145-penduduk-Baling-dipindahkan
PENCURI BALAK BAWA DADAH
JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan dua lelaki yang sedang leka mencuri kayu balak di Kompartmen 9 Gunung Inas, di Baling, semalam.
Pengarah JPNK Roslan Rani berkata, dalam serbuan kira-kira 3 petang itu, anggota JPNK turut menemui satu plastik berwarna putih disyaki mengandungi dadah dalam beg salah seorang daripada mereka.
“Semasa serbuan, kedua-dua lelaki terbabit sedang mengangkat kayu jenis meranti tembaga ke atas lori di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) berkenaan
“Menyedari kehadiran pasukan JPNK, salah seorang daripada mereka cuba melarikan diri dan pemeriksaan lanjut pada beg miliknya mendapati terdapat plastik putih dipercayai mengandungi dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Roslan berkata kedua lelaki berusia 28 dan 30 tahun itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Hutan Renjer Tawar untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke Balai Polis Kupang untuk membuat laporan polis.
Katanya kedua-dua suspek, penduduk tempatan, ditahan selepas perbincangan dilakukan bersama Pegawai Penyiasat JPNK.
“Lori serta dua unit mesin gergaji turut disita dan dibawa ke stor sitaan JPNK di Pejabat Hutan Renjer Jeniang untuk tindakan lanjut.
“Sehingga kini JPNK masih menyiasat jumlah kerugian akibat kegiatan curi balak di kawasan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan penangkapan suspek berkenaan dan penemuan dadah syabu pada salah seorang suspek itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/505140/pencuri-balak-bawa-dadah
SUNGAI SEGALIUD SAH TERCEMAR
JABATAN Alam Sekitar (JAS) Sabah mengesahkan pencemaran yang berlaku di Sungai Segaliud, Sandakan, akibat sisa buangan kilang di kawasan berhampiran.
Pengarahnya, Amirul Aripin berkata, laporan berhubung pencemaran itu diterima pada 26 September lalu dan pada hari yang sama sepasukan pegawai menjalankan pemeriksaan di sungai terbabit.
Katanya, siasatan mendapati punca kejadian dipercayai daripada sisa kilang yang sudah dikenal pasti.“Dakwaan pencemaran berlaku di Sungai Segaliud didapati berasas berdasarkan siasatan pihak kami.
“Pihak kami ketika ini giat menjalankan proses pengumpulan bukti di lapangan dan dalam masa terdekat, kami akan menyiapkan siasatan lengkap berkaitan pencemaran ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Amirul berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Tindakan akan diambil sekiranya mereka melanggar kesalahan peraturan yang ditetapkan.
“Kami turut berharap dalam masa terdekat ini, tindakan undang-undang dapat diambil. Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliing 1974,” katanya.
Terdahulu, pada 26 September lalu penduduk kampung mendapati air Sungai Segaliud bertukar hitam selain ikan dan udang mati sebelum bangkainya timbul di permukaan sungai.
Sementara itu, nelayan, Mail Until, 44, berkata, punca pendapatan mereka terjejas sejak sungai itu tercemar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Tiada ikan dan udang boleh dipukat lagi. Semua sudah mati dan benih ikan termasuk anak ikan pun mati.
“Biasanya selepas berlaku pencemaran begini, ia akan mengambil tempoh sehingga enam bulan atau setahun baru ikan dan udang dapat dipukat semula,” katanya.
Sehubungan itu, Mail berharap perkara itu dapat diselesaikan dan dalam masa sama ada pihak yang dapat membantu mereka kerana semua nelayan di kampung itu kini sudah hilang punca pendapatan.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/502768/sungai-segaliud-sah-tercemar
MEDIA DISARAN PERBANYAKKAN BERITA BERKAITAN AIR
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mahu pihak media melaporkan lebih banyak berita berkaitan air.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata laporan berita berkaitan air seperti di Ulu Muda dan Sungai Muda antara Januari 2018 dan Ogos 2019 telah membantu menghasilkan keputusan yang positif.
Katanya, kerajaan negeri dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) sudah mengumumkan larangan pembalakan di Ulu Muda bagi memulihara kawasan tadahan air selepas beberapa berita dan gambar berhubung pembalakan haram di kawasan itu dilaporkan sejak September tahun lalu.
“Pada Julai tahun ini, laporan berita yang mendedahkan pembuangan sisa haram di Sidam Kiri, Kedah, juga mengelak ancaman pencemaran air bekalan air di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada malam penghargaan media PBAPP malam tadi.
Beliau juga melahirkan penghargaan kepada media massa kerana memaparkan cadangan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
“Ia seterusnya mendorong KATS memberi perhatian kepada cadangan SPRWTS ketika ini, selepas Kerajaan Persekutuan terdahulu gagal melaksanakan skim ini selama lapan tahun,” katanya.
Zakiyuddin bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa kemudian menyampaikan “Outstanding Water News Awards” untuk tujuh syarikat penerbitan berita bagi laporan berita dan gambar yang diterbitkan.
Setiap syarikat media berkenaan menerima RM1,000 yang kemudiannya akan disumbangkan kepada pertubuhan amal pilihan mereka. – BERNAMA
SUNGAI, SUMBER AIR LEBIH TERPELIHARA DENGAN UNDANG-UNDANG BAHARU
KUALA LUMPUR — Langkah penguatkuasaan akan dipertingkat dalam mengatasi isu pencemaran sungai dan menjaga sumber air negara apabila Rang Undang-undang Sumber Air diluluskan di Parlimen.
“Rang undang-undang yang akan datang ini akan kita kuatkuasakan, buat masa ini kita akan bawa ke Dewan Rakyat. Rang undang-undang itu akan meliputi semua yang berkaitan dengan air,” kata Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan langkah kerajaan menangani isu pencemaran sungai yang dilihat sering berlaku sejak kebelakangan ini.
Pada 29 April lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, kementerian itu telah menggubal rang undang-undang itu yang seragam dan komprehensif untuk digunakan oleh semua negeri bagi memperkasa pengurusan, kawalan dan penguatkuasaan sumber air di seluruh negara.
Sementara itu, Tengku Zulpuri Shah dalam ucapannya berkata, sambutan pada hari ini dibuat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai untuk semua kehidupan.
Menurut beliau, kebanyakan pencemaran pada hari ini berpunca daripada aktiviti manusia sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Sudah tiba masanya masyarakat mengubah mentaliti ke arah yang lebih peka terhadap kesan buruk yang bakal dihadapi agar mereka tidak sewenang-wenangnya membuang sampah,” katanya.
JAS JOHOR TIDAK DAPAT SAHKAN DATA ANALISIS SUNGAI
PASIR GUDANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor tidak dapat mengesahkan data analisis pencemaran sungai yang didedahkan Biro Aduan Awam Putra Jumaat lalu.
Pengarahnya, Mohd Famey Yusoff berkata, teknik dan taktik pengambilan sampel air perlu mengikut piawaian ditetapkan bagi menentukan kepekatan bahan tercemar.
“Ada cara dan teknik sepatutnya dipatuhi ketika mengambil sesuatu sampel. Jadi pihak JAS tak dapat pastikan sama ada teknik dan taktik diambil individu memenuhi piawaian ditetapkan.
“JAS tak dapat nak pastikan data itu benar atau tidak sebab kita kena faham air itu mengalir,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan program Sekolah Angkat Industri Daerah Pasir Gudang (PROSPAG) 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang hari ini.
Menurutnya, data kandungan air yang mengalir akan berbeza setiap waktu.
“Kalau puan (pemberita) ambil (sampel air) sekarang dengan esok, (kandungannya) lain. Sampel jam sekarang dengan jam berikutnya pun dah lain sebab air itu mengalir.
“Jadi ini semua memainkan peranan dalam menentukan kepekatan bahan tercemar dalam air,” katanya.
Jumaat lalu Biro Aduan Awam Putra mendedahkan keputusan ujian makmal sampel air 10 lokasi di jajaran Sungai Kim Kim yang menunjukkan tahap pencemaran berganda daripada kategori sungai mati
Dalam pada itu Mohd Famey berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan hasil analisis semua sungai di Pasir Gudang kerana masih dalam siasatan.
“Bukan kata kita nak simpan (hasil analisis) tapi perkara itu masih dalam siasatan kita. Kalau saya dedahkan, kes pegawai penyiasat saya rosak. Jadi ada perkara yang kita perlu patuhi,” katanya.
Sementara itu dalam program fasa pertama itu, sebanyak 16 industri di Pasir Gudang telah menyerahkan alat pengesan gas kepada 20 buah sekolah angkat masing-masing.
Kata Mohd Famey, sehingga kini 64 industri di Pasir Gudang telah bersetuju untuk membekalkan alat pengesan gas kepada 111 sekolah yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim dan isu gangguan kesihatan.
SUNGAI MATI ANGKARA SISA INDUSTRI
GEORGETOWN – Sungai Keluang berdekatan Zon Perindustrian Bayan Lepas di sini antara sungai bandar yang ‘mati’ angkara pencemaran sisa industri dari kawasan kilang dan air kumbahan sejak berbelas tahun lalu.
Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pencemaran di sungai itu kini pada tahap serius sejak pencemaran 13 tahun lalu yang bukan sahaja menyebabkan air sungai berkenaan menjadi hitam dan berlumpur tetapi kelihatan kotor serta jijik.
Menurutnya, pencemaran sisa industri dan air kumbahan menyebabkan sungai tersebut ‘mati’ di bahagian hilir kerana tiada hidupan manakala di permukaannya dipenuhi sampah sarap serta pelbagai bahan buangan yang termendap.
“Pencemaran Sungai Keluang menyebabkan kawasan berkenaan berbau busuk dan meloyakan kerana didapati punca pencemaran di sungai itu dari pembuangan sisa kilang, kediaman penduduk, premis perniagaan, bengkel, najis binatang dan najis manusia,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Katanya, sebagai contoh pada Jun lalu, CAP menerima aduan orang ramai yang terkejut dengan buih putih di sungai tersebut.
“Hasil tinjauan CAP, sisa itu didapati datang dari kawasan perindustrian Bayan Lepas melalui saluran yang terdapat di tempat itu. Lebih membimbangkan, ia terus mengalir ke kawasan jeti nelayan dan laut berdekatan.
“Perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan mata pencarian nelayan di kawasan terbabit malah ikan dan kerang yang menjadi sumber pendapatan utama mereka akan mati,” katanya
Sementara itu, menerusi surat maklum balas, Ketua Cawangan JAS Bayan Lepas, Ramli Manap berkata, sisa kumbahan berbuih putih yang mengalir ke sungai berkenaan adalah dari loji kumbahan.
Dalam pada itu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh ketika dihubungi berkata, dalam mesyuarat 5 Julai lalu, Indah Water Konsortium (IWK) mengesahkan punca buih tersebut disebabkan beberapa faktor antaranya sludge bulking yang tidak termendap ke dasar loji.
Kelihatan cecair berbuih mencemari Sungai Keluang di Bayan Lepas pada Jun lalu.
Menurutnya, disebabkan perkara itu, ia menyebabkan filamen bakteria terbentuk dan menghasilkan buih.
“Kejadian itu disebabkan kerosakan peralatan pada Pam Return Activated Sludge (RAS). Selain itu, lebihan kapasiti menyebabkan kandungan bahan pencuci tidak terurai dalam efluen.
“Faktor lain adalah kemasukan punca yang tidak dibenarkan ke sistem pembentungan seperti pembuangan bahan larangan secara haram ke sistem pembentungan,” katanya.
Boon Poh berkata, bagi mengatasi masalah buih tersebut, IWK Sdn Bhd akan memasang peralatan antibuih.
“Kerja pemasangan peralatan itu telah selesai pada 15 Julai lalu selain peralatan yang rosak diganti segera dalam tempoh sebulan.
“Selain itu, JAS Pulau Pinang akan terus memantau tindakan IWK Sdn Bhd dan melakukan pensampelan rasmi air kumbahan,” katanya.
Di Pulau Pinang, selain Sungai Keluang, beberapa batang sungai lain seperti Sungai Juru, Sungai Pinang dan Sungai Perai turut dikhuatiri semakin tercemar.
Sungai-sungai tersebut turut disenaraikan dalam 51 sungai tercemar di Malaysia dalam kelas empat dan kelas lima.
https://www.sinarharian.com.my/article/49082/BERITA/Nasional/Sungai-mati-angkara-sisa-industri